Oleh Rosman Shamsudin


Slim River: Idea pelik tetapi kreatif seorang pemuda. Itu yang dilakukan Muhammad Hasan Fikri Mohd Junit, 35, yang menggunakan sebuah bilik di rumah bagi mengusahakan tanaman cendawan tiram dan mampu memberi pulangan hasil lumayan sejak dua tahun lalu di Kampung Bantang, dekat sini.

Dia yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Mesin Industri dari sebuah universiti tempatan mengakui sebelum ini, rumah itu dihuni ibu dan bapa bersama dia empat beradik.

Katanya, sekitar 2011 dia bersama ahli keluarga lain berpindah ke sebuah rumah di taman perumahan dekat pekan Slim River.

"Kami berpindah ke taman perumahan untuk memudahkan arwah kakak, Nur Syakirah menjalankan perniagaan bakeri. Arwah meninggal dunia pada 2018 akibat penyakit thalassemia ketika berumur 34 tahun.

"Sebelum ini, rumah berkenaan pernah disewakan, tetapi disebabkan timbul pelbagai masalah dengan penyewa menyebabkan rumah itu kosong.

"Idea mengusahakan tanaman cendawan datang dari ayah saya, Mohd Junit Anuar yang juga pesara guru dan kebetulan saya juga berminat dalam bidang pertanian," katanya ditemui dekat Kampung Bantang, Slim River.

Pada peringkat awal, dia mengusahakan 3,000 bongkah cendawan tiram dan sebuah bilik mampu menempatkan kira-kira 1,600 bongkah cendawan.

Kini, hanya terdapat 1,000 bongkah cendawan yang aktif dan mampu mengeluarkan hasil kira-kira 60 kilogram (kg) sebulan yang dijual di pasaran tempatan.

Bercerita lanjut, anak ketiga daripada empat beradik itu mengakui, agak jarang atau tidak pernah penanam cendawan menanam tumbuhan berkenaan di dalam rumah kediaman.

MUHAMMAD Hasan Fikri sedang membersihkan bongkah botol cendawan di atas rak besi.
MUHAMMAD Hasan Fikri sedang membersihkan bongkah botol cendawan di atas rak besi.

Katanya, selepas mempelajari kaedah dan cara menanam cendawan daripada penanam cendawan yang mengusahakan secara komersial, dia bertekad mengubah suai sebuah bilik untuk dijadikan tempat bagi tanaman cendawan.

"Saya membina tiga rak besi sebagai tempat untuk menyusun bongkah cendawan secara melintang bagi tujuan pembiakan cendawan tiram berkenan.

"Bagi memastikan suhu bilik terbabit sesuai untuk pembiakan cendawan, saya memasang paip air di bahagian atas bawah siling bagi tujuan memastikan suhu bilik berkenaan sentiasa stabil.

"Pada bahagian lantai juga mempunyai paip air yang menggunakan teknik semburan yang dikawal secara automatik. Pada musim hujan, hanya dua kali semburan berbanding empat kali semburan air pada musim panas," katanya.

Hasil cendawan yang sudah matang lebih 45 hari ke atas dipetik sebanyak dua kali sebulan sebelum dibungkus di dalam plastik dengan berat 100 gram.

Sebungkus cendawan dijual dengan harga RM2.10 sahaja kepada peniaga di Pasar Awam Slim River dan Kuala Bikam, Sungkai serta orang ramai.

Setiap bongkah cendawan mampu mengeluarkan hasil lebih 10 kuntum cendawan yang matang.

Dia berkata, cendawan yang diusahakan sejak dua tahun lalu itu sentiasa mendapat permintaan daripada orang ramai kerana cendawan terbabit ditanam dan dibiak secara semula jadi tanpa menggunakan apa jua racun.

Katanya, walaupun bilik di rumah kediaman digunakan bagi tanaman cendawan namun langsung tidak menjejaskan struktur binaan rumah malah sentiasa bersih kerana dijaga secara konsisten.

"Memang ramai orang agak terkejut dan tidak percaya saya mengusahakan tanaman cendawan tiram di dalam rumah kediaman.

"Dengan ilmu daripada pengusaha cendawan yang lain melalui kumpulan WhatsApp dan sebagainya, akhirnya saya berjaya mengubahsuai kaedah tanaman mengikut tempat yang saya gunakan bagi tanaman terbabit," katanya yang mengusahakannya sepenuh masa bagi mencari sumber pendapatan, di samping membantu ayahnya mengusahakan tanaman sawit milik keluarga seluas kira-kira enam hektar.

Berkenaan perancangan masa depan, dia bercadang menambahkan lagi bongkah cendawan tiram bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.

Katanya, bagi mendepani cabaran masa kini dan masa depan, perlulah kreatif dan bijak memanfaatkan ruang serta peluang yang sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 7:55 AM