Nur Izzzati Mohamad


Tasek Gelugor: Masalah dihadapi hampir 500 penduduk di kawasan ini untuk mendaftar janji temu suntikan vaksin Covid-19 selesai apabila mereka dibantu melalui Kempen Kesedaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Kempen anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor dengan kerjasama Belia 4B Tasek Gelugor mendapat sambutan baik terutama penduduk berusia 40 hingga 60 tahun ke atas.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, walaupun teknologi berkembang, masih ada yang berdepan masalah apabila tidak tahu cara mendaftar selain kurang mahir menggunakan peranti.

"Apabila ditanya kepada mereka, kebanyakan memberikan alasan tidak tahu caranya dan tidak cekap menggunakan telefon pintar selain ada yang tidak boleh mengakses ke aplikasi MySejahtera.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya (baju biru) melihat proses pendaftaran vaksin sempena Kempen Kesedaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pasar Awam Tasek Gelugor. FOTO Nur Izzati Mohamad
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya (baju biru) melihat proses pendaftaran vaksin sempena Kempen Kesedaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pasar Awam Tasek Gelugor. FOTO Nur Izzati Mohamad

"Justeru, kempen ini dapat membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi," katanya ketika melakukan tinjauan hari teakhir kempen terbabit di Pasar Awam Tasek Gelugor, di sini, hari ini.

Shabudin yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata, beliau menyeru warga emas dibantu untuk mendaftarkan diri bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Menurutnya, pihaknya juga menguruskan proses pendaftaran dari rumah ke rumah sekiranya terdapat keperluan berikutan pergerakan terhad ketika ini apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Pada masa sama, kita turut menyediakan lima van untuk membawa mereka yang kurang berkemampuan dan mendapat jadual janji temu ke pusat pemberian vaksin (PPV)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 2:01 PM