Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menutup mana-mana sekolah sekiranya sebahagian besar guru dilaporkan menjalani kuarantin akibat Covid-19 sehingga menyebabkan operasi sekolah tidak efisien.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pada masa ini apabila berlaku kes Covid-19 di sekolah, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan membuat penilaian risiko terlebih dahulu sama ada perlu atau tidak menutup sekolah.

"PKD adalah pihak pakar membuat penilaian dan mereka akan meneliti secara lebih mendalam yang mana jika terdapat tingkat tertentu sekolah perlu ditutup maka tingkat itu perlu ditutup.

"Jika ada sesuatu bangunan akan ditutup maka bangunan itu akan ditutup dan jika seluruh sekolah perlu ditutup maka seluruh sekolah akan ditutup.

"Bagi pihak KPM pula kita melihat dari sudut operasi yang mana katakanlah terdapat sebahagian besar guru terpaksa kuarantin hingga menyebabkan operasi sekolah tidak efisien maka pada ketika itu kita akan lihat sama ada operasi sekolah boleh diteruskan atau ditangguh dulu," katanya.

Baru-baru ini, Kerajaan Pulau Pinang menggesa supaya tindakan drastik diambil termasuk menutup sekolah yang melaporkan kes aktif jangkitan Covid-19 di negeri ini.

Radzi berkata, pihaknya akan sentiasa mengikut dan menerima nasihat daripada PKD memandangkan mereka mempunyai kepakaran dalam menangani isu berkenaan.

Dalam pada itu, Radzi meminta guru di sekolah negara untuk segera mendaftarkan diri di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan memandangkan mereka antara kumpulan penting yang diberi vaksinasi.

"Proses vaksinasi kepada guru-guru sedang dijalankan dan kita minta semua guru dapat membuat pendaftaran segera," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Gelugor dan Penyerahan Wang Penyelenggaraan Sekolah-Sekolah dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, 31 sekolah menerima peruntukan antara RM20,000 hingga RM200,000 untuk tujuan penyelenggaraan serta baik pulih sekolah.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.

Radzi dalam ucapannya berkata, KPM akan menyusun semula senarai sekolah yang layak menerima bantuan penyelenggaraan, baik pulih dan sebagainya mengikut keutamaan dalam usaha memastikan sekolah yang betul-betul layak menerima peruntukan terlebih dahulu berbanding sekolah lain.

"Sekarang ada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dan kita perlu memberi keutamaan kepada sekolah yang betul-betul layak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 11:53 AM
MOHD Radzi berucap pada Majlis Penyerahan SMK Tasek Gelugor dan Peruntukan Penyelenggaraan Untuk Sekolah-sekolah Parlimen Tasek Gelugor. FOTO Danial Saad
MOHD Radzi berucap pada Majlis Penyerahan SMK Tasek Gelugor dan Peruntukan Penyelenggaraan Untuk Sekolah-sekolah Parlimen Tasek Gelugor. FOTO Danial Saad