APMM Negeri Kelantan menyerahkan empat nelayan warganegara Vietnam yang diselamatkan dalam kejadian bot karam kepada wakil kedutaan negara itu di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO  ihsan APMM
APMM Negeri Kelantan menyerahkan empat nelayan warganegara Vietnam yang diselamatkan dalam kejadian bot karam kepada wakil kedutaan negara itu di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO ihsan APMM
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Empat nelayan warganegara Vietnam yang dijumpai bot awam sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diserahkan kepada wakil negara itu, hari ini.

Penyerahan empat nelayan berusia 20 hingga 47 tahun itu dibuat di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan di Tok Bali, di sini.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, nelayan berkenaan diserahkan kepada tiga wakil daripada pejabat Kedutaan Vietnam di Malaysia.

Katanya, mangsa diselamatkan oleh kapal pelantar Express 93 dan Express 81 sekitar jarak 107.2 batu nautika hingga 110.5 batu nautika dari muara Tok Bali pada 27 dan 28 Mac lalu.

"Berdasarkan keterangan tekong, kesemua mereka adalah mangsa bot karam yang dipukul ombak dan ribut.

"Empat daripada mereka berjaya diselamatkan manakala seorang lagi masih hilang," katanya dalam kenyataan, di sini.

Nur Syam berkata, penemuan satu mayat semalam pula dipercayai bukan kru bot berkenaan selepas dinafikan nelayat terbabit sebagai rakan mereka.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"APMM Kelantan mengucapkan terima kasih kepada syarikat perkhidmatan perkapalan yang membuat aduan, membantu menyelamat dan menyerahkan mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 7:25 PM