Jabatan Alam Sekitar (JAS)   mengadakan siasatan insiden kebakaran membabitkan simpanan tayar ricih di Jeti Sritama, Telok Panglima Garang Ahad lalu.Pix ihsan Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengadakan siasatan insiden kebakaran membabitkan simpanan tayar ricih di Jeti Sritama, Telok Panglima Garang Ahad lalu.Pix ihsan Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Struktur binaan haram atas 14 lot tanah di sebuah kawasan jeti persendirian di Jalan Bandar Lama, Telok Panglima Garang akan dirobohkan dalam masa terdekat.

Struktur binaan haram itu dikesan selepas berlaku kebakaran tayar ricih terpakai di salah sebuah tempat penyimpanan dalam kawasan terbabit, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, pemeriksaan mendapati tujuh lot masih berstatus tanah pertanian.

"Tujuh lot lagi sudah berstatus tanah industri selepas pemilik membuat permohonan pada 2018.

"Bagaimanapun, ia tidak mempunyai Kebenaran Merancang selain pemilik masih belum membayar premium tanah sehingga kini," katanya selepas meninjau lokasi kebakaran berkenaan, semalam.

Beliau berkata, kebakaran tayar ricih terpakai di kawasan seluas kira-kira 0.37 hektar masih dalam proses pemadaman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor.

Katanya, sisa tayar berkenaan diimport dari Australia untuk dijadikan bahan bakar dan pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan mempunyai lesen import (AP) yang sah.

"Difahamkan, sisa tayar berkenaan sepatutnya dihantar ke Chemor, Perak bagi kegunaan kilang plastik dan kilang simen di Langkawi, Kedah, Bagaimanapun, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tidak dapat dihantar seperti biasa.

"Saya juga mengarahkan pemilik untuk mengalihkan arang batu yang ditempatkan berdekatan tayar ricih terpakai bagi memudahkan pihak bomba melakukan kerja pemadaman," katanya.

Loy Sian berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik kerana menyebabkan pencemaran udara serta kacau ganggu kepada penduduk sekitar.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menjalankan siasatan mengikut Seksyen 29A dan Seksyen 22 (2) (b) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, punca kebakaran berkemungkinan dari cuaca panas serta adanya bahan mudah terbakar di kawasan itu.

"Punca sebenar kebakaran akan kita ketahui selepas kerja pemadaman selesai sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 9:41 AM