HEE (kiri) ketika mengadakan lawatan ke atas beberapa premis ladang ternakan babi di Tanjung Sepat bersama agensi berkaitan. FOTO Ihsan Luas.
HEE (kiri) ketika mengadakan lawatan ke atas beberapa premis ladang ternakan babi di Tanjung Sepat bersama agensi berkaitan. FOTO Ihsan Luas.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan negeri mengenalpasti masalah pencemaran sumber air di daerah Kuala Langat berpunca daripada penternakan babi dan kawalan pencemaran secara konvensional.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, tinjauan di lokasi mendapati pengusaha tidak menggunakan kaedah penternakan tertutup (close house) seperti kaedah 'Modern Pig Farming'.

"Kita mendapati, pengurusan kumbahan najis ternakan hanya melalui pengumpulan di kolam takungan di dalam premis ternakan.

"Efluen daripada kolam ini seterusnya disalirkan ke perparitan di luar premis dan akhirnya ke perairan pantai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau melawat beberapa premis ladang ternakan babi di Tanjung Sepat bersama agensi berkaitan antaranya Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat (PDTKL) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Susulan itu katanya, beberapa tindakan dan usaha lanjut akan dilakukan segera antara JPV akan mengarahkan semua pengusaha terbabit melaksanakan kerja pembersihan dan penyelenggaraan ke atas ladang ternakan dan sistem kumbahan dengan segera.

"Najis ternakan perlu dilupuskan di luar kawasan ladang ternakan dan dihantar ke tapak pelupusan yang dibenarkan.

"LUAS akan mengarahkan pemilik tanah berkaitan untuk melaksanakan segera tindakan pemulihan saliran parit di dalam tapak sehingga air yang dilepaskan keluar daripada lot tanah tidak mencemarkan.

"Pensampelan kualiti air juga akan dilaksanakan dan tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat elemen pencemaran berlaku," katanya.

Beliau berkata, agensi berkaitan terutama JKV Selangor mengambil langkah proaktif dengan mengawal selia aktiviti penternakan babi di seluruh Selangor dari masa ke semasa.

"Aktiviti penternakan babi di Selangor tertakluk kepada Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991 dan Kaedah-Kaedah Pelesenan Penternakan Babi (Negeri Selangor) 2012 dan juga Garis Panduan Pengurusan Sisa Buangan Ternakan Babi (Edisi 1, 2019) yang

dikuatkuasakan oleh JPV Negeri Selangor.

"Berdasarkan rekod JPV, sejumlah 118 premis ternakan babi aktif beroperasi di daerah Kuala Langat dan sebahagian kecil di daerah Sepang.

"Ternakan ini dijalankan di atas tanah lot berstatus pertanian. Kesemua premis ini beroperasi dengan lesen yang didaftarkan oleh JPV," katanya.

Katanya, beliau akan menyelaraskan perbincangan lanjut bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertanian & Perladangan, Izham Hashim untuk mengadakan sesi dialog bersama persatuan dan semua pengusaha penternakan babi di Selangor.

"JPV akan menyelaraskan perancangan dan memperkemaskan pengurusan operasi ternakan bersama pengusaha berkaitan.

"Matlamat utama adalah pengurusan tinja ternakan yang perlu dilaksanakan secara bersistematik dan tidak mencemarkan sumber air berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 12:25 PM