Keratan laporan terdahulu.
Keratan laporan terdahulu.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menyiasat kesahihan kes tiga bayi tertukar ketika dilahir 20 tahun lalu yang dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan di sebuah hospital di sini.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sebagai permulaan, pihaknya menyiasat hospital yang menjadi tempat bayi dilahirkan sama ada, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) atau Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

"Setakat ini kita dimaklumkan bayi berkenaan termasuk kembar dilahirkan di hospital di daerah ini.

"Kita akan membuat siasatan berhubung kesahihan kes ini dan akan mendapatkan maklumat daripada keluarga secara terperinci," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, pihaknya membuka kembali rekod kelahiran bayi di Kota Bharu bagi menyiasat kes berkenaan.

"Kebiasaannya rekod kelahiran akan disimpan pihak hospital selama 21 tahun. Kita akan mencari rekod mereka jika dilahirkan di hospital ini, yang dahulunya dibuat secara manual," katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua keluarga melalui episod tragis apabila menyedari anak mereka tertukar selepas 20 tahun.

Berita berkaitan

Tahu bayi tertukar selepas 20 tahun

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 6:10 PM