Noratirah Husin, 20, (kiri), Adryana Iwani Ibeni Yanin, 20, (tengah) dan Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, bayi yang tertukar 20 tahun lalu. FOTO BERNAMA
Noratirah Husin, 20, (kiri), Adryana Iwani Ibeni Yanin, 20, (tengah) dan Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, bayi yang tertukar 20 tahun lalu. FOTO BERNAMA
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bersedia untuk berjumpa keluarga bayi tertukar kira-kira 20 tahun lalu bagi mengesahkan kelahiran mereka.

Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, pihaknya bersikap terbuka dan bersedia untuk berjumpa keluarga itu.

"Jika keluarga mereka mahu berjumpa, kita sedia dan tiada masalah.

"Kita (pihak hospital) juga nak tahu kelahiran tiga bayi yang kini berusia 20 tahun itu berlaku di hospital mana kerana pihak kita hanya tahu, mereka lahir di sebuah hospital di Kota Bharu sahaja.

"Di Kota Bharu ini ada beberapa hospital lain. Ketika kelahiran mereka, nama HRPZ II adalah Hospital Besar Kota Bharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan (JKKN) di Tanjung Chat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Selasawati berkata, walaupun tidak mengetahui lokasi kelahiran tiga bayi itu, namun pihaknya akan turut mencari dokumen kelahiran mereka.

Katanya, dokumen diperlukan bagi membantu kes itu dan beri masa kepada pihak hospital untuk mencari dokumen.

"Dokumen diperlukan untuk mengetahui siapa pegawai yang terbabit ketika kelahiran mereka.

"Lagipun, kejadian 20 tahun lalu ini adalah satu jangka masa yang agak panjang dan sebelum ini kita tidak pernah dengar serta tidak pernah timbul kes seperti itu," katanya.

Beliau berkata, banjir pada 2014 juga menyebabkan sebanyak 300,000 dokumen hospital ditenggelami banjir dan dilupuskan.

Berita berkaitan:

  • Tahu bayi tertukar selepas 20 tahun
  • JKNK siasat dakwaan 3 bayi tertukar selama 20 tahun
  • 'Ayah jatuh sakit apabila tahu saya bukan anak kandungnya'
  • Anak yang tertukar, wajib untuk tukar kembali bin/binti - Mufti Kelantan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 1:17 PM