FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan di laman sosial Twitter terhadap seorang wanita, pada bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, lelaki berusia 20-an yang baru menamatkan pengajian di luar negara itu ditahan di Kulim, Kedah, semalam.

Menurutnya, penahanan itu susulan laporan yang dibuat mangsa pada 10 Mei lalu.

"Suspek ditahan dan telefon bimbitnya dirampas untuk dihantar ke Jabatan Forensik bagi siasatan lanjut.

"Suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan sementara proses siasatan dilengkapkan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pengadu membuat komen berhubung isu tular seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang mendakwa guru mengeluarkan perkataan berunsur lucah dengan menggalakkan perlakuan rogol ketika sesi pembelajaran di sekolah.

Katanya, suspek membalas komen pengadu itu yang seolah-olah membuat ugutan ke atas pengadu.

"Susulan itu, polis turut memanggil pelajar perempuan yang dikaitkan dalam isu berkenaan bagi diambil keterangan. Kewajaran keterangan pelajar itu adalah untuk melengkapkan siasatan itu sahaja," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 3:49 PM