BEKAS pekerja pelantar minyak, Hatta Hashim mula menjadikan lukisan mural 3D antara karya seninya sejak empat tahun lalu. FOTO Hatta Hashim
BEKAS pekerja pelantar minyak, Hatta Hashim mula menjadikan lukisan mural 3D antara karya seninya sejak empat tahun lalu. FOTO Hatta Hashim
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Marang: Lukisan mural tiga dimensi (3D) kini semakin diminati malah ia menjadi antara tarikan bagi kafe dan lokasi pelancongan.

Bekas pekerja pelantar minyak, Hatta Hashim, 37, mula menjadikan lukisan mural 3D antara karya seninya sejak empat tahun lalu.

Tanpa sebarang pendidikan formal dalam bidang seni, Hatta menjadikan Youtube sebagai medium mendalami seni mural 3D.

Katanya, lukisan mural 3D secawan kopi yang dilukisnya di atas jalan raya yang tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu dibuat khusus untuk sebuah kafe hipster di daerah ini.

Katanya, ia mengambil masa empat hari untuk disiapkan.

"Saya menggunakan cat 'outdoor' sebagai bahan utama bagi membolehkan ketahanan cat lebih lama.

"Lukisan mural 3D kini menjadi daya penarik untuk orang ramai bergambar kerana ia nampak seakan objek sebenar," katanya kepada Harian Metro.

Hatta berkata, cabaran melukis di atas jalan juga bukan mudah tambahan ini adalah lukisan pertamanya di atas permukaan itu.

Katanya, dia perlu memastikan permukaan jalan bersih dari batu halus dan pasir sebelum proses lakaran dan mewarna dapat dibuat.

"Saya hanya belajar dari Youtube dan gemar berekperimentasi bagi menghasilkan lukisan mural 3D pelbagai elemen.

"Sebelum ini saya juga melukis pelbagai lukisan mural 3D bermotifkan alam semula jadi, haiwan dan pemandangan," katanya.

Katanya, kepuasan sebagai seorang pelukis apabila karya seni diterima masyarakat selain hasilnya yang seakan objek sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 3:07 PM