ANGGOTA bomba sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan tanah gambut berhampiran Kampung Balai Besar, Dungun.
ANGGOTA bomba sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan tanah gambut berhampiran Kampung Balai Besar, Dungun.
BERNAMA

Dungun: Operasi memadam kebakaran di sebuah hutan tanah gambut di Kampung Balai Besar di sini meliputi kawasan seluas lima hektar sejak petang semalam, diteruskan hari ini.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azman Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 3.47 petang semalam dan seramai 31 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, BBP Paka dan BBP Al-Muktafi Billah Shah digerakkan ke lokasi kejadian.

"Ketika tiba di tempat kejadian semalam, didapati kebakaran telah merebak meliputi kawasan seluas empat hektar dan pagi ini, kawasan kebakaran telah meningkat kepada kira-kira lima hektar. Ada kawasan yang api telah padam, namun masih ada sisa-sisa bara di bahagian dalam tanah yang berisiko kembali terbakar.

"Sejak petang semalam operasi pemadaman kita teruskan tanpa henti hingga pagi ini bagi mengelakkan ia merebak ke kawasan yang lebih luas dan ke kawasan penempatan berdekatan yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azman berkata sekiranya kebakaran hutan tanah gambut itu berterusan dalam tempoh lama, ia boleh menjejaskan kesihatan penduduk yang tinggal di kawasan sekitar akibat terhidu asap.

"Kita belum mengetahui punca sebenar kebakaran tetapi berdasarkan tinjauan di lokasi kita menemukan beberapa tempat pelupusan sampah dan mungkin terdapat aktiviti pembakaran terbuka yang dipercayai dilakukan secara haram," katanya.

Beliau juga menasihati orang ramai tidak melakukan pembakaran sampah secara terbuka bagi mengelakkan berlakunya kebakaran hutan pada skala besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 6:10 PM