ANTARA yang ditahan dan dikompaun kerana berkumpul dan berparti dalam sebuah bilik di resort di Jalan Persiaran Cinta. FOTO IHSAN PDRM
ANTARA yang ditahan dan dikompaun kerana berkumpul dan berparti dalam sebuah bilik di resort di Jalan Persiaran Cinta. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Empat lelaki dan dua wanita ditahan dalam serbuan polis ke atas bilik di sebuah resort di Jalan Persiaran Cinta Sayang, di sini, awal pagi tadi, selepas didapati berkumpul dan berhibur.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata enam individu berusia antara 17 hingga 33 tahun itu ditahan dalam Op Cantas/Op Covid pada 1.30 pagi tadi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati semua suspek berkumpul dan minum minuman keras serta menghisap dadah.

"Pemeriksaaan lanjut menemukan ketamin dianggar seberat 0.8 gram pada seorang suspek lelaki berusia 29 tahun dan ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah berkenaan.

"Semakan juga mendapati suspek bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai empat rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Adzli berkata, hasil soal siasat mendapati kesemua mereka mengaku menyewa bilik itu semata-mata untuk berhibur.

"Dua wanita berusia 17 dan 21 tahun mengaku bekerja sebagai pembantu kedai makan, manakala tiga lelaki lain bekerja sebagai pemandu lori dan pencuci kereta.

"Berikutan itu, mereka dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana melakukan kesalahan mengikut Perkara 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) 2021," katanya.

Suspek yang terbabit dadah turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan akan direman untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 10:57 AM