SUSPEK berusia 33 tahun yang ditahan pihak berkuasa di sebuah tali air di Kampung Kutan Tengah tengah hari tadi atas kesalahan menceroboh kawasan PKPD. FOTO Siti Rohana Idris
SUSPEK berusia 33 tahun yang ditahan pihak berkuasa di sebuah tali air di Kampung Kutan Tengah tengah hari tadi atas kesalahan menceroboh kawasan PKPD. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Tumpat: Lelaki memberi alasan mahu mencari siput ketika ditahan di tali air Kampung Kutan Tengah, di sini, kerana menceroboh masuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Dalam kejadian pada 12.15 tengah hari, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan ketika sedang menunggang motosikal Honda EX5 oleh pasukan pemantau Op Covid-19 yang melakukan rondaan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, lelaki berkenaan mendakwa mahu mencari siput di tali air dan dipercayai menyelinap masuk ke kawasan PKPD menerusi laluan tikus.

"Pemeriksaan di badan suspek terdapat sebilah pisau lipat dan pemutar skru dan lelaki itu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu untuk tindakan lanjut.

"Saringgan ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dikenakan kompaun RM3,000 mengikut Peraturan 6 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Setakat ini, seramai tiga individu sudah dikompaun masing-masing RM1,500 atas kesalahan membuat pergerakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih dari 10 kilometer," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 3:41 PM