GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur mengesahkan bahawa satu klip video mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tular di media sosial adalah palsu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo berkata, pihaknya mengesan satu klip video palsu yang ditularkan melalui WhatsApp dan TikTok hari ini.

Katanya, hasil semakan mendapati klip video palsu itu menggunakan tangkap layar satu tajuk artikel dari sebuah laman web yang didapati disiarkan dalam talian pada 24 Mac 2020.

"Tangkap layar artikel berkenaan dipinda individu yang tidak bertanggungjawab dengan memasukkan logo PDRM, perkataan "Diraja Malaysian IPK KL Polis" yang ternyata salah dan audio yang menyatakan bermula pada hari ini, sesiapa yang keluar rumah selepas jam 6 petang akan ditangkap, kecuali bagi mereka yang mempunyai urusan di klinik atau hospital dan hal-hal yang membabitkan kecemasan seperti membawa orang sakit.

"Turut dinyatakan, mereka yang keluar rumah selepas jam 6 petang untuk membeli makanan akan ditangkap atas arahan Ketua Polis Negara," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, orang ramai dibenarkan keluar rumah untuk membeli keperluan asas dan makanan pada waktu kedai-kedai terbabit beroperasi sehingga jam 8 malam sebagaimana SOP Am Perintah Kawalan Pergerakan bertarikh 2 Jun 2021 yang dikuatkuasakan kerajaan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan sebarang berita palsu atau maklumat tidak sahih.

Katanya, individu yang dengan niat menularkan berita tidak benar berkaitan Covid-19 untuk menyebabkan ketakutan dan kebimbangan kepada orang awam adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, orang ramai diminta untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 7:31 PM