Dr Abdul Latiff Ahmad
Dr Abdul Latiff Ahmad
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM7.59 juta insentif kepada lima agensi di bawahnya untuk manfaat 3,526 usahawan, penyewa dan peminjam yang terkesan akibat pandemik Covid-19, kata Menterinya Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata, agensi terbabit adalah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Terengganu Tengah (Ketengah).

Memperincikan jumlah diperuntukkan kepada setiap agensi terbabit, Abdul Latif berkata Keda menerima peruntukan sebanyak RM4.97 juta, Kejora (RM647,554), Kesedar (RM861,000), Ketengah (RM551,443) dan Perda (RM561,100).

Menurutnya, Keda membantu 691 usahawan, Kejora membantu 423 penyewa dan peminjam, Kesedar membantu 594 usahawan dan pengusaha premis, Ketengah membabitkan 1,243 peniaga, peminjam dan penyewa, manakala Perda membantu 575 penyewa serta peminjam.

Antara insentif yang diperkenalkan mulai Mei hingga Julai ini adalah pengecualian bayaran premis perniagaan, penangguhan bayaran sewa rumah, pengecualian bayaran sewa tanah, penangguhan bayaran balik pinjaman serta penstrukturan semula dan memperluas program keusahawanan semua agensi," katanya.

"Memahami kesulitan yang dialami kesemua usahawan di bawah agensi terbabit, KPLB akan sentiasa berusaha membantu bagi meringankan beban mereka sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Latiff berkata, antara masalah dihadapi kumpulan sasar terutamanya usahawan serta peniaga kecil Lembaga Kemajuan Wilayah adalah kemerosotan prestasi perniagaan, kesukaran membayar sewa premis perniagaan dan kesukaran membayar balik pinjaman perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 7:53 PM