JABATAN Imigresen menahan pendatang warga asing di sebuah penempatan warga asing haram di Cyberjaya. FOTO ihsan pembaca
JABATAN Imigresen menahan pendatang warga asing di sebuah penempatan warga asing haram di Cyberjaya. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Operasi terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) di negara ini perlu dilakukan sebagai usaha membantu mengurangkan penularan virus Covid-19 secara sporadik dalam kalangan komuniti.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, penahanan mereka dibuat untuk mengenal pasti sama ada golongan itu mempunyai dokumen sah atau majikan.

Menurutnya, ia juga bertujuan untuk membantu mengurangkan penularan wabak Covid-19 (kes sporadik) dalam komuniti.

"Ini kerana tempat tinggal warga asing ini sangat daif, sesak, tanpa sistem kumbahan dan perparitan yang teratur.

"Mereka juga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kerap berkumpul beramai-ramai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, warga asing yang tidak mempunyai dokumen serta pas sah akan ditahan.

"Mereka akan ditempatkan di depot tahanan Imigresen dan diproses dokumen perjalanan bersama kedutaan masing-masing untuk dihantar pulang.

"Jika (Pati) tidak ditahan, kemungkinan untuk mereka menyebarkan virus adalah tinggi kerana warga asing ini juga keluar membeli keperluan harian di pasar dan kedai runcit yang turut dikunjungi warga tempatan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan 20 kumpulan hak asasi manusia merayu Yang di-Pertuan Agong campur tangan bagi menghentikan tindakan berterusan terhadap Pati ketika negara sedang berusaha mencapai imuniti kelompak virus Covid-19.

Menurut kenyataan dikeluarkan pihak terbabit, ia memaklumkan kaedah penahanan Pati berkenaan bukan strategi yang baik.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin bertegas terhadap tindakan kerajaan melakukan operasi penahanan Pati sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Semalam, media melaporkan 156 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu di sebuah perkampungan haram di Cyberjaya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 4:21 PM