KEADAAN Muhammad Khairul Affan yang menghidap penyakit kulit Pustular Psoriasis tahap empat. FOTO Nazri Abu Bakar
KEADAAN Muhammad Khairul Affan yang menghidap penyakit kulit Pustular Psoriasis tahap empat. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Saya tetap berusaha mencari penawar dan mengubati anak saya yang menanggung derita penyakit keradangan kulit 'Pustular Psoriasis' tahap empat," kata Khirul Che Salleh, 44, yang menetap di Batu Berendam, di sini.

Anaknya Muhammad Khairul Affan, 9, dikesan menghidap penyakit berkenaan berusia enam tahun dan kini keadaannya bertambah kritikal sehingga tidak mampu berdiri dan hanya terlantar di katil kerana tidak boleh terdedah dengan cahaya matahari.

Malah sejak beberapa bulan lalu keadaan Affan semakin teruk hingga kulitnya bersisik serta berair terutama di perut sehingga berat badannya juga semakin susut.

Khirul berkata, Affan tidak mampu bangun, tidak boleh berpeluh dan perlu sentiasa berada dalam keadaan dingin.

Dia berkata, isterinya, Rosnah Hamid, 38, perlu memandikan Affan kerana jika dibiarkan badannya berbau berikutan kulitnya sentiasa luruh, berair dan liang kulit sesekali keluar darah.

"Namun jika dimandikan, Affan akan meraung kesakitan.

"Sejak dia sakit, kami sering berulang-alik ke Hospital Melaka dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani proses rawatan dan mengambil ubat Affan. Doktor memaklumkan penyakit itu sukar diubati dan hanya dibekalkan dengan krim bagi meredakan keradangan kulit yang semakin merebak ke seluruh badan.

"Kami juga diberitahu penyakitnya berpunca daripada keradangan kolon, darah atau hati sehingga menyebabkan kulit sentiasa mengelupas dan luruh, akibat penyakit terbabit yang nama saintifiknya Von Zumbusch," katanya.

Khirul kini hanya bergantung kepada pendapatan ihsan menerusi jemputan mengajar agama atau memberi ceramah di masjid yang sekadar cukup membayar pinjaman bulanan rumah.

Menurutnya, kos untuk merawat anaknya dimaklumkan mencecah hingga RM25,000 manakala perbelanjaan bulanan termasuk ubat dan pemakanan organik Affan kira-kira RM2,700 menyebabkan dia membeli apa yang termampu saja buat masa ini.

"Sebagai bapa, saya sedaya-upaya mencari penawar penyakit anak saya termasuk menyediakan pemakanan khusus terutama berasaskan bahan organik sebagaimana disarankan doktor.

"Saya juga amat menghargai semua pihak termasuk jiran dan saudara mara yang prihatin dengan apa kami sekeluarga lalui," katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyalurkan menerusi akaun Maybank Khirul Che Salleh di 106129006686.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 2:26 PM