ANGGOTA polis memeriksa kenderaan keluar masuk di SJR sempadan daerah Kuala Terengganu. FOTO ZAID SALIM
ANGGOTA polis memeriksa kenderaan keluar masuk di SJR sempadan daerah Kuala Terengganu. FOTO ZAID SALIM
Oleh Zaid Salim


Kuala Terengganu: Polis melaksanakan sembilan sekatan jalan raya (SJR) dan penutupan 10 laluan alternatif bagi mengawal pergerakan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini berkuat kuasa 12 tengah malam tadi.

Tindakan sama turut dilakukan di beberapa laluan tikus yang dikenal pasti terutama laluan yang terletak berhampiran kawasan sempadan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pergerakan orang ramai di 21 mukim yang dikenakan PKPD sehingga 12 Jun ini dapat dikawal.

Katanya, seramai 150 pegawai dan anggota polis ditempatkan di lokasi berkenaan dengan bantuan 33 anggota tentera.

"Susulan pelaksanaan PKPD di Kuala Terengganu bermula tengah malam tadi, polis melaksanakan sembilan SJR selain menutup 10 laluan alternatif keluar dan masuk di daerah ini.

"Kita juga sudah kenal pasti beberapa laluan tikus dan akan menutup laluan terbabit sekiranya didapati berlaku pergerakan luar biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di SJR sempadan Kuala Terengganu/Marang berhampiran Kampung Padang Midin, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, empat 'check point' pemeriksaan juga dilakukan bagi mengawal pergerakan keluar masuk kenderaan di bandar ini.

"Ia hanya menempatkan anggota polis trafik iaitu di Bulatan Ladang, Jalan Kemajuan, Jalan Sultan Omar dan Pulau Kambing bertujuan mengehadkan kemasukan kenderaan ke pusat bandar," katanya.

Kerajaan sebelum ini mengisytiharkan PKPD di 21 mukim seluruh Kuala Terengganu secara serentak ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 di lokaliti terbabit.

Ia membabitkan mukim Manir, Bukit Besar, Pengadang Buluh, Belara, Paloh, Kubang Parit, Serada, Rengas, Bandar, Chendering, Chabang Tiga, Kepung, Gelugur Kedai, Kuala Ibai dan Atas Tol.

Turut dikenakan PKPD adalah mukim Tok Jamal, Losong, Batu Buruk, Pekan Chabang Tiga, Pulau-Pulau dan Gelugur Raja.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 5:01 PM