Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuantan: Seorang lelaki membuat laporan polis selepas mendakwa diperdayakan dalam urusan pembelian barangan elektronik murah termasuk dua telefon pintar jenama terkenal yang dijual pada harga RM500 seunit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 27 tahun itu mendakwa diperdayakan oleh lelaki yang sering menggunakan perkhidmatannya sebagai 'runner' untuk membeli dan menghantar barang.

"Selepas lebih sebulan berkenalan, iaitu sekitar awal bulan ini, suspek dikatakan menawarkan telefon pintar itu dan mangsa mendakwa terus bersetuju kerana harganya yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.

"Tiga hari selepas itu, suspek menawarkan pula sebuah komputer riba dan sebuah lagi telefon pintar pada harga RM1,000 menyebabkan sekali lagi mangsa bersetuju disebabkan harga yang murah," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa membuat bayaran penuh terhadap semua barangan itu menerusi dua transaksi pemindahan wang dalam talian, namun mula berasa curiga apabila suspek tidak membalas pesanan WhatsApp dihantarnya.

"Mangsa yang menunggu selama tiga hari kemudiannya ke rumah suspek, namun dimaklumkan oleh jiran suspek bahawa lelaki itu sudah berpindah," katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 9:39 AM