Gambar hiasan
Gambar hiasan
Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Seorang wanita kerugian RM12,700 selepas diperdaya dalam urusan pembelian telefon pintar melalui laman Instagram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 22 tahun bekerja sebagai operator kilang.

"Mangsa yang tinggal di Felda Sungai Panching di sini, tertarik dengan iklan penjualan telefon berkenaan di Intagram.

"Mangsa menghubungi penjual melalui aplikasi WhatsApp dan bersetuju untuk membeli telefon itu pada harga RM1,400 sebelum memindahkan wang ke akaun bank diberi," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, selepas membuat pembayaran, mangsa diminta membuat beberapa bayaran lain dengan pelbagai alasan.

Mangsa melakukan enam lagi transaksi dengan jumlah keseluruhan RM12,700.

"Walaupun sudah membuat bayaran itu, suspek masih lagi meminta mangsa melakukan transaksi menyebabkan mangsa curiga.

"Mangsa kemudian mahu membatalkan pembeliannya sebelum suspek menyekat nombor telefonnya. Mangsa membuat laporan polis semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 4:45 PM