PUSAT  pengumpulan dan jualan durian di Sungai Klau dan Sungsi Chalit perlu mematuhi SOP yang ketat dalam usaha menghindar penularan wabak Covid-19. FOTO Mohd Rafi Mamat
PUSAT pengumpulan dan jualan durian di Sungai Klau dan Sungsi Chalit perlu mematuhi SOP yang ketat dalam usaha menghindar penularan wabak Covid-19. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Raub: Majlis Daerah Raub (MDR) mengeluarkan tujuh kompaun terhadap peniaga durian Musang King di Sungai Klau dan Sungai Chalit, di sini, yang kini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pegawai Daerah Raub, Datuk Mohamad Shahid Ismail berkata, kompaun itu dikeluarkan kerana kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di premis pengumpulan dan jualan durian.

"Dalam pemantauan pada 27 Julai lalu, enam kompaun dikeluarkan manakala satu kompaun lagi pada 1 Ogos lalu kerana kegagalan mematuhi SOP iaitu terdapat jumlah individu yang lebih dalam satu-satu masa di premis.

"Kami akan terus melakukan pemantauan berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan SOP ditetapkan dipatuhi dalam usaha mencegah penularan Covid-19," katanya di sini, hari ini.

PKPD di Sungai Chalit dan Sungai Klau yang dijadual tamat pada 10 Ogos lalu dilanjutkan sehingga 24 Ogos depan selepas penularan kes Covid-19 terus berlaku.

Mohamad Shahid berkata, pada masa ini, hanya lapan hingga 10 individu dibenarkan berada dalam premis jualan durian dalam satu-satu masa berdasarkan kepada keluasan premis terbabit.

Beliau berkata, meskipun pelaksanaan PKPD, namun kebenaran diberikan kepada aktiviti jualan durian khususnya Musang King yang terkenal di kawasan itu.

"Bagaimanapun, ia harus mengikut SOP ketat termasuklah semua peniaga durian perlu menjalani Ujian Kit Pantas Antigen (RTK) setiap dua minggu sekali.

"Bagi peniaga luar yang masuk ke Raub untuk urusan pembelian durian pula perlu melakukan ujian Tindak Balas Rantaian Polimerase (PCR) sebelum memasuki daerah ini yang sah dalam tempoh dua minggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 4:22 PM