TINJUAN mendapati bilangan pengunjung ke pusat membeli-belah semakin berkurangan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TINJUAN mendapati bilangan pengunjung ke pusat membeli-belah semakin berkurangan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Bachok: Polis Kelantan meminta rakyat negeri ini supaya tidak keliru dengan operasi prosedur standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang mengehadkan aktiviti perniagaan sehingga 8 malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, SOP dikuatkuasa sejak semalam hanya membabitkan operasi perniagaan sahaja termasuk di premis perniagaan manakala farmasi dilanjutkan hingga 10 malam.

Katanya, ramai keliru SOP berkenaan turut membabitkan pergerakan mereka di atas jalan raya jika melebihi 8 malam akan dikenakan kompaun atau melanggar SOP PKP 3.0.

"Isu pergerakan dalam daerah sama tidak timbul, maksudnya pergerakan dalam daerah sama masih boleh seperti biasa, cuma perniagaan sahaja dan farmasi tutup ikut SOP ditetapkan.

"Pergerakan tidak dihadkan (masa pergerakan), cuma kita pegang kepada SOP PKP 3.0, jika tidak ada urusan penting maka kita duduk di rumah," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Lima, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.

Shafien berkata, penjelasan itu dibuat bagi mengurangkan salah faham rakyat negeri ini yang takut dikenakan tindakan jika berada di atas jalan raya atau luar rumah selepas 8 malam jika mereka mempunyai urusan tertentu seperti pulang dari tempat kerja dan sebagainya.

Katanya, tiada had masa pergerakan, namun mereka masih perlu mematuhi SOP dengan mempunyai surat kebenaran polis jika ingin melakukan pergerakan rentas daerah atau melakukan urusan tertentu.

"Saya respek rakyat Kelantan kerana apabila bermula SOP PKP 3.0 semalam, kita dapati bandar Kota Bharu agak lengang dan hanya ada pergerakan dibenarkan sahaja pada malam tadi.

"Ini menunjukkan mereka tahu jika tiada keperluan, lebih baik berada di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 6:52 PM