ANGGOTA polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal laluan sepanjang Wakaf Bharu, Tumpat menuju ke Jambatan Sultan Yahya Petra. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal laluan sepanjang Wakaf Bharu, Tumpat menuju ke Jambatan Sultan Yahya Petra. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Polis Kelantan mengeluarkan empat kompaun terhadap pengguna jalan raya yang merentas daerah sempena Aidilfitri semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, empat kenderaan berkenaan dari Bachok merentas ke daerah Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Katanya, pengguna jalan raya itu masing-masing dikompaun RM5,000 berikutan gagal mengemukakan surat kebenaran atau apa-apa dokumen berkaitan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR).

"Mereka yang dikompaun memaklumkan datang dari Bachok dan merentas daerah untuk berhari raya.

"Kita mengeluarkan kompaun kerana mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua kenderaan itu kemudian diarahkan berpatah balik.

Menurutnya, pada hari raya pertama dan kedua sudah tiada kenderaan dari luar negeri yang cuba masuk ke Kelantan.

"Sebelum hari raya, banyak kenderaan yang mencuba nasib balik ke kampung, namun pada hari raya sudah tiada kenderaan yang cuba masuk ke negeri ini.

"Kita nasihatkan kepada semua terutama rakyat Kelantan supaya patuh SOP dengan tidak merentas daerah bagi mengekang penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 12:33 PM