SHAFIEN mengadakan lawatan di sekatan jalan raya (SJR) Pasir Pekan sempena Sekatan Pergerakan Penuh, hari ini. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
SHAFIEN mengadakan lawatan di sekatan jalan raya (SJR) Pasir Pekan sempena Sekatan Pergerakan Penuh, hari ini. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Pergerakan kenderaan di Kelantan berkurangan sehingga 75 peratus dalam tempoh dua hari, sejak Sekatan Pergerakan Penuh dilaksanakan semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ia menunjukkan kepatuhan rakyat di Kelantan dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Katanya, perubahan ketara itu boleh dilihat di bandar Kota Bharu dan Tumpat melainkan pada waktu pagi serta petang sahaja yang membabitkan pergerakan ekonomi termasuk mereka yang perlu bekerja.

"Saya sudah melakukan tinjauan di Pasar Khadijah, Pasaraya Lotus dan sekatan jalan raya (SJR) di Wakaf Bharu, kita mendapati pergerakan yang berlaku disebabkan pergerakan ekonomi, kecemasan atau temujanji hospital sahaja.

"Tiada lagi yang memberi alasan pelik untuk merentas daerah setakat ini. Pada waktu malam pula, keadaan begitu lengang.

"Tinjauan di Pasar Siti Khadijah juga mendapati kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) orang ramai tinggi dan saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama baik," katanya ketika mengadakan lawatan di Pasaraya Lotus, SJR Pasir Pekan sempena Sekatan Pergerakan Penuh, hari ini.

Pada masa sama, Shafien berkata, masih ada lagi pengguna jalan raya yang mengemukakan surat lama daripada majikan dan pihaknya memberi kelonggaran untuk beberapa hari.

"Kita memahami mereka mungkin belum mendapat surat baru dari kementerian. Kita bertolak ansur untuk beberapa hari ini, selepas ini barulah kita perketatkan pemeriksaan," katanya.

Pada masa sama, Shafien berkata, mulai semalam, 24 SJR secara statik di seluruh Kelantan, manakala 25 lagi SJR secara bergerak.

"Peningkatan jumlah SJR itu bagi mengelak orang ramai melakukan pergerakan tanpa sebarang urusan penting dan kita akan perketatkan pemeriksaan.

"Kita berharap momentum baik sejak semalam sehingga hari ini dengan kepatuhan SOP rakyat Kelantan melebihi 95 peratus terus berkekalan sehingga tamat Sekatan Pergerakan Penuh," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 12:03 PM