Hazira Ahmad Zaidi


Bachok: Polis Kelantan sudah diarahkan untuk membuat pemantauan di 45 lokasi pusat peranginan dan tumpuan awam seluruh negeri itu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, kesemua Ketua Polis Daerah sudah diarahkan berbuat demikian bermula Jumaat.

Menurutnya, 120 pegawai dan anggota digerakkan bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan peranginan dan tumpuan awam di seluruh negeri.

"Bagi memudahkan pemantauan dilakukan, setiap daerah mempunyai enam atau tujuh pasukan pemantau yang akan berada di lokasi terpilih.

"Secara umumnya, tahap pematuhan SOP dalam kalangan pengunjung adalah memuaskan dan masih boleh ditambah baik.

"Sebagai contoh masih ada pengunjung yang memakai pelitup muka tetapi meletakkannya di bawah dagu dan

pendekatan yang kita ambil ialah memberi teguran dan nasihat kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan SOP Covid-19 di Pantai Irama, Bachok, di sini, hari ini.

Shafien berkata, pengunjung yang berkunjung ke tempat peranginan dan tumpuan ramai majoritinya sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

"Jadi mereka membawa anak-anak atau ahli keluarga, namun berada dalam kelompok sesama mereka dan tidak bercampur dengan orang lain.

"Saya ingin menasihatkan kepada seluruh masyarakat yang mahu menyertai atau melawat mana-mana lokasi yang dibenarkan supaya patut kepada protokol kesihatan yang sudah digariskan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 7:30 PM