GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kempen kesedaran kepentingan pengambilan vaksin Covid-19 akan dilakukan melalui khutbah Jumaat di semua masjid di negeri ini, mulai minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M Rozi Bidin berkata, Jabatan Mufti negeri juga bersetuju mengeluarkan fatwa termasuk hukum pengambilan vaksin Covid-19.

"Selain itu, imam dan bilal di semua masjid dan surau di negeri ini diminta menguar-uarkan kempen suntikan vaksin Covid-19, sebelum dan selepas menyampaikan azan solat," katanya melalui sidang videonya, hari ini.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pihak berkuasa agama negeri memainkan lebih peranan dengan memperbanyakkan program kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan pengambilan vaksin Covid-19.

M Rozi berkata, MAIDAM tiada halangan untuk turut sama membantu kerajaan memerangi penularan pandemik Covid-19 dan melancarkan kempen kesedaran kepada semua masyarakat supaya mendapatkan suntikan imunisasi Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 12:21 PM