Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis mengenal pasti pemilik akaun Tik Tok dikenali sebagai Athirah yang berkongsi pengalaman nyaris menjadi mangsa culik seperti misteri kehilangan Sharlinie Mohd Nashar, 13 tahun lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Dev Kumar M M Sree berkata, wanita terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kehilangan Sharlinie.

"Polis tidak pernah menutup kes Sharlinie yang hilang di Taman Medan, Petaling Jaya pada 2008. Malah, jika ada maklumat baharu kita menyiasatnya semula," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Kehilangan Sharlinie ketika itu berusia empat tahun pada 9 Januari 2008 menggemparkan negara yang sebelum itu turut bersedih dengan tragedi menimpa seorang lagi kanak-kanak, Nurul Jazlin Jasimin yang diculik dan dibunuh.

Peristiwa penuh misteri itu berlaku ketika Sharlinie bersama kakaknya, Sharliena (ketika itu tujuh tahun) dalam perjalanan pulang ke rumah dari taman permainan kira-kira 200 meter dari rumah sewa keluarganya di Taman Medan, Petaling Jaya.

Malah, isu itu kembali tular di media sosial baru-baru ini apabila wanita terbabit membuat satu video dan berkongsi pengalamannya terserempak dengan individu digelar lelaki kucing disyaki suspek kepada beberapa kes penculikan kanak-kanak sekitar 2008.

Wanita terbabit mendakwa dia masih bersekolah rendah ketika itu didatangi lelaki bertopi keledar dan yang memberhentikan motosikal di depan kedai runcit sebelum mengajaknya melihat kucing.

Namun, dia tidak menuruti ajakan lelaki itu sebaliknya terus masuk ke dalam kedai dan tidak lama kemudian dia mendengar berita kehilangan Sharlinie yang dikaitkan dengan lelaki kucing.

Malah, dia turut mendakwa terus teringat lelaki itu sebaik melihat lakaran wajah suspek yang diedarkan pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 9:36 PM