MOHD Nashar (tengah) menunjukkan gambar Sharlinie kepada Mohd Sabri (kanan).
MOHD Nashar (tengah) menunjukkan gambar Sharlinie kepada Mohd Sabri (kanan).
Oleh Rosli Ilham

Dungun: “Sungguhpun sudah tujuh tahun berlalu, ingatan terhadap Sharlinie masih kuat. Apa tidaknya, kehilangannya penuh misteri dan sehingga kini masih belum ada sebarang petanda.

“Ingatan kami kepadanya tetap kuat. Orang lain mungkin sudah lupa, tetapi setiap kali Ramadan, air mata saya pasti berguguran tanpa dapat ditahan,” kata Mohd Nashar Mat Hussin, 38, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Pulut, di sini, semalam.

Kehilangan anaknya, Sharlinie yang ketika itu berusia empat tahun pada 9 Januari 2008 kira-kira jam 11.30 pagi menggemparkan negara yang sebelum itu turut merasai kesedihan tragedi menimpa seorang lagi kanak-kanak, Nurul Jazlin Jasimin yang diculik dan dibunuh.

Mohd Nashar berkata, biarpun sudah tujuh tahun berlalu, namun dia dan isterinya, Suraya Ahmad, 34, mengakui buntu memikirkan misteri kehilangan Sharlinie yang masih belum terjawab meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk mencari kanak-kanak berkenaan.

“Peristiwa hitam itu berlaku dengan penuh misteri ketika Sharlinie bersama kakaknya, Sharliena yang ketika itu berusia tujuh tahun dalam perjalanan pulang ke rumah dari taman permainan kira-kira 200 meter dari rumah sewa kami di Taman Medan, Petaling Jaya.

“Sharliena terdengar bunyi orang berjalan menyebabkannya menoleh ke belakang, tetapi tidak nampak sesiapa pun. Bagaimanapun, ketika menoleh semula ke depan, Sharliena mendapati adiknya yang sebelum itu berjalan di depannya hilang.

“Apabila teringatkan perkara itu, saya sangat sedih. Kalau saya tahu, tentu saya berada di situ untuk menghalang kehilangannya, tetapi apakan daya itu sudah suratan Ilahi dan kami reda dengan kejadian ini,” katanya.

Mohd Nashar berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk meminta bantuan bomoh, namun sehingga kini masih buntu.

“Sudah banyak pakaian Sharlinie diberikan setiap kali diminta bomoh untuk tujuan perubatan dan kini hanya tinggal sehelai seluar jeans dan sehelai baju selain sepasang pakaian yang dipakainya ketika berusia tiga tahun sebagai pengubat kerinduan kami,” katanya.

Sehubungan itu, dia meminta pihak berkuasa dan orang ramai tidak melupakan kejadian yang menimpa anaknya serta berharap mereka yang terjumpa Sharline atau mempunyai maklumat segera menghubungi polis.

“Sudah lama saya tidak mendengar perkembangan kes ini, namun saya amat berharap pihak berkuasa terus menyiasat supaya Sharlinie ditemui semula.

“Saya tahu kes ini begitu sukar untuk disiasat, namun jauh di sudut hati saya yakin Sharlinie masih hidup dan akan pulang menemui kami satu hari nanti,” katanya.

Kesedihan keluarga Mohd Nashar turut mendapat perhatian Pengerusi Kelab Motosikal Freedom Rider Mohd Sabri Talib yang menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada mereka, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:09 AM