FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Setiap individu kini menjadi penentu kepada usaha mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat bermula esok, ia hanya akan berjaya apabila semua pihak berdisiplin dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Pengarah Pentadbiran MediCOM, Dr Mohd Shafiq Wahab berkata, pengenalan penambahbaikan SOP tidak akan membuahkan hasil jika kawalan kendiri tidak dipraktikkan setiap rakyat di negara ini.

Beliau berkata, kawalan pergerakan, pengurangan jumlah pekerja di sektor awam dan swasta serta arahan Bekerja Dari Rumah (BDR) hanya mekanisme difikirkan sesuai oleh pihak berwajib.

"Sudah tentu kawalan pergerakan secara menyeluruh adalah jalan terbaik. Pun begitu, jika ia tidak dipatuhi, penularan akan tetap berlaku.

"Pengurusan Covid-19 bukan hanya terarah kepada SOP semata-mata, tetapi sejauh mana ia dipatuhi rakyat di negara ini," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah langkah baik untuk membendung penularan daripada merebak, namun ia masih boleh ditambah baik.

Sambil mencadangkan pemberian itu dibuat di peringkat parlimen atau berdasarkan lokaliti, beliau berkata, ia dapat memastikan suntikan itu dibuat secara bersistematik menyeluruh.

"Mungkin ia lebih sesuai dan tersusun kerana jangkaan peningkatan kes tidak menentu, semua orang memerlukan vaksin ini bagi menjamin wabak tidak menjangkiti orang lain.

"Inilah aspek pencegahan terbaik dan ideal. Seseorang yang sudah mengambil vaksin, boleh dijangkiti lagi, tetapi peratus untuk menjangkiti yang lain kurang.

"Jika seluruh komuniti divaksin, maka kita berpeluang untuk mengatasi penularan ini dengan berkesan," katanya.

Dr Mohd Shafiq berkata, sudah sampai masanya pemberian dan pembelian vaksin ini turut dikendalikan pihak swasta kerana ia akan membantu mempercepatkan vaksinasi kepada rakyat.

"Lagi cepat semua orang divaksin, lebih bagus, ditambah dengan kawalan kendiri yang berkesan, kita mampu menyelamatkan diri kita dan orang lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 5:17 PM