GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.38 juta untuk membantu rakyat khususnya golongan miskin dan B40 yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak RM1.2 juta akan disalurkan kepada empat Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang terbabit dalam PKPD.

Katanya, ia merangkumi masing-masing RM400,000 untuk PDT Kinta serta PDT Larut Matang dan Selama, manakala RM200,000 untuk PDT Hulu Perak dan PDT Muallim.

"Manakala sejumlah RM1.18 juta pula membabitkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada 59 pejabat pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak bagi kemudahan menjalankan pengurusan menangani Covid-19 di kawasan masing-masing," katanya.

Menurutnya, bantuan itu diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika mengadakan pertemuan dengan kesemua Adun Perak yang diadakan secara maya, hari ini.

"Walaupun prosedur operasi standard (SOP) pada PKPD kali ini lebih longgar dengan aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi, namun Menteri Besar mahu semua PDT serta agensi berkaitan membuat pemantauan bagi memastikan rakyat yang terjejas dapat segera dibantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 7:17 PM