Anggota bomba mengumpul maklumat untuk menjalankan kerja mencari kumpulan juruukur yang terkandas di Bukit Naran dekat Ladang Gohan di Slim River. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba mengumpul maklumat untuk menjalankan kerja mencari kumpulan juruukur yang terkandas di Bukit Naran dekat Ladang Gohan di Slim River. Foto Ihsan JBPM
Rosman Shamsudin

Slim River: Lima orang juruukur Jabatan Ukur Cawangan Tapah yang terkandas di Bukit Naran dekat Ladang Gohan di sini, hari ini ditemukan selamat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 9.16 malam.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan itu.

Katanya, pihaknya dimaklumkan terdapat seramai 10 orang juruukur mendaki kawasan bukit berkenaan pada 9 pagi hari ini.

"Lima daripada mereka berjaya turun di kaki bukit berkenaan dengan selamat pada 3 petang.

"Bagaimanapun, lima lagi juruukur didapati terkandas di kawasan bukit terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semua mangsa akhirnya berjaya turun dari kawasan bukit berkenaan dan ditemukan selamat pada 9.40 malam.

Menurutnya, mangsa dibawa turun dari kaki bukit dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik jabatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 11:41 PM