BERNAMA

Kuantan: Wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri Bakti Setia Temasek iaitu anugerah luar yang tidak diiktiraf pada akhir bulan lalu.

Sabariah Hashim, 45, didakwa menggunakan dan menikmati gelaran serta panggilan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, kira-kira 3.30 petang 28 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 yang memperuntuk hukuman maksimum penjara tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim menawarkan jaminan RM5,000 manakala peguam Mohd Azahari Matiasin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili Sabariah memohon jaminan minimum terhadap anak guamnya yang menanggung lapan anak dan ibu berusia 86 tahun.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Majistret Najwa Hashim membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di mahkamah sama, suri rumah Wan Roshaidayati Wan Mohd Salleh, 51, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menipu seorang wanita dan seorang lelaki berhubung perniagaan kuih raya, akhir tahun lalu.

Dia didakwa menipu Suhana Alias, 41, dan Mohd Fadhil Hanafi Alias, 28, dengan menawarkan pemberian modal permulaan perniagaan projek kuih raya berjumlah RM2,000 setiap seorang sehingga mendorong mereka menyerahkan wang tunai masing-masing berjumlah RM500 kepada tertuduh.

Wan Roshaidayati didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran dan sebuah stesen minyak di Taman Seri Mahkota Aman, di sini, kira-kira 9.30 malam 31 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, dan dengan sebatan dan juga denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 5:32 PM