Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Bekas Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, Johor, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM10,000, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Zulfadli Nayan, 40, yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Hubungan dan Koordinasi Antarabangsa Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zulfadli didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat perkapalan, Wan Mohd Fauzi Wan Kamaruddin.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru, kira-kira jam 10 malam, 2 Oktober tahun lalu.

Mohd Zulfadli didakwa menggunakan jawatannya itu untuk tidak mengambil tindakan ke atas siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn Bhd yang ditahan oleh KM Mulia, Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili pada 17 September tahun lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Fazaly Ali diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di mahkamah yang sama, seorang Laskar Kanan Maritim Malaysia Aidi Haidir Ali, 43, mengaku tidak bersalah atas 43 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM35,400 daripada pemilik syarikat perkapalan yang sama antara Disember 2016 hingga Disember tahun lalu.

Dia didakwa menerima suapan itu melalui pindahan wang dan mesin pendeposit tunai di lokasi bank berbeza di Daerah Kota Tinggi bagi melepaskan kapal milik individu berkenaan daripada ditahan, diperiksa dan diambil tindakan.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Mohd Salleh Togimin itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 31 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah sama juga, Penolong Pegawai Laut Jabatan Laut Malaysia, Alias Jaafar, 58, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM5,800 sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh, didakwa menerima suapan daripada individu sama bagi mempercepatkan pemeriksaan 'Flag State Control' kapal milik individu terbabit.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dua bank berasingan di Jalan Skudai dan Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, sejak 6 April 2019 hingga 30 Julai tahun lalu.

MOHD Zulfadli Nayan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
MOHD Zulfadli Nayan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof itu diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 20 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Ketiga-ketiga pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Suhaili Sapun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 6:48 PM