Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan parang kepada ibu kandungnya, Selasa lalu.

Tertuduh, Fadzir Mohd Zamhari, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengacukan sebilah parang kepada ibunya, Fatimah Mat Ali, 68, di bahagian perut selain mengugut mahu membunuh ibunya di rumah beralamat No 11 Kampung Sungai Akar, di sini, kira-kira jam 6 pagi, 17 November lalu.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, selain penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya ugutan berkenaan bermaksud untuk menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hanida Abdul Kadir dengan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK), Norizawani Ahmad Jalaludin.

Siti Hanida meminta jaminan RM5,000 ditawarkan kepada tertuduh, sebelum Norizawani meminta jumlah itu dikurangkan kepada RM3,000 memandangkan pendapatan tertuduh sebagai penoreh getah hanya RM20 sehari.

Rohaida bagaimanapun tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh memandangkan mangsa dan tertuduh tinggal serumah, selain menetapkan 4 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang penjual makanan didakwa atas dua pertuduhan iaitu menakutkan penjawat awam menjalankan tugas selain memandu kenderaan secara berbahaya dalam kejadian minggu lalu.

Rohaizad Lazim, 37, yang diwakili peguam, P Ravee mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat menakutkan penjawat awam iaitu polis dengan cara melanggar kenderaan yang dinaiki penjawat awam berkenaan dari arah belakang kira-kira jam 7 petang pada 12 November lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu Proton Iswara bernombor pendaftaran WFN 5207 secara berbahaya kepada orang awam di kilometer (km) 1, Jalan Kuala Kangsar-Manong sehingga Kampung Sungai Siput Hulu, di sini pada waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan pertama boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali iaitu mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Sementara, bagi pertuduhan kedua, hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 sehingga RM15,000 diperuntukkan, iaitu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ravee meminta mahkamah mempertimbang untuk jaminan kepada tertuduh dikurangkan dengan cara pertuduhan dibuat hanya dalam satu kertas pertuduhan, berikutan pendapatan tertuduh sebagai penjual makanan agak terkesan susulan pandemik Covid-19.

Selain itu permintaan Ravee didasari oleh tiada sebarang objek yang menyalahi undang-undang ditemukan dalam kereta yang dipandu tertuduh, melainkan kesalahan asal yang dilakukan tertuduh hanya kerana lesen memandu serta cukai jalan kereta itu yang tamat tempoh.

Hakim bagaimanapun menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000, iaitu masing-masing RM3,000 dan RM5,000 untuk pertuduhan pertama dan kedua, serta menetapkan 12 Januari tahun depan untuk kes disebut semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 1:40 PM