KEADAAN dewan yang menempatkan  pesakit Covid-19 di PKRC MAEPS. FOTO Arkib NSTP
KEADAAN dewan yang menempatkan pesakit Covid-19 di PKRC MAEPS. FOTO Arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sebuah lagi dewan dalam proses dibangunkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 berikutan peningkatan pesakit di sekitar Lembah Klang.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam satu kenyataan berkata, sehingga kini PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 mempunyai kapasiti 5,869 katil.

"Pembangunan dewan ini diharap akan dapat meningkatkan keselesaan kepada pesakit yang dirawat di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.

"Buat masa ini, jumlah pesakit seramai 3,454 yang mana 80 peratus daripada mereka adalah warganegara Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi JKNS, hari ini.

Kenyataan terbabit susulan satu laporan menerusi portal berita bertajuk '6 jam untuk dapat katil, suhu terlampau sejuk, makanan tak cukup, tandas 'jijik', antara keluhan penghuni MAEPS'.

Menurut JKNS, pada masa ini, purata jumlah kemasukan pesakit sekitar 600 sehari dengan pesakit harian yang pernah mencecah sehingga 1,800 orang.

"Pesakit yang dimasukkan ke PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 perlu melalui penilaian kesihatan bagi memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan yang diberikan adalah berpandukan kepada kategori rawatan mengikut simptom terutama pesakit kategori 3.

"Di samping bertanyakan sejarah kesihatan, pesakit perlu menjalani pemeriksaan fizikal serta kesihatan lain seperti ultrasound, x-ray paru-paru dan ujian darah.

"Proses ini akan mengambil masa terutama apabila membabitkan jumlah pesakit yang ramai pada satu-satu masa," katanya.

Ketika Ramadan lalu pula, JKNS menjelaskan, proses itu terpaksa diberhentikan sementara pada waktu berbuka bagi memberikan keselesaan kepada pesakit dan petugas untuk berbuka puasa dan menyempurnakan solat.

"Proses pendaftaran apabila kemasukan pesakit ke dalam dewan rawatan pula perlu dilakukan dengan teliti agar kesilapan tidak berlaku.

"Di samping itu, pemeriksaan keselamatan bagi mengelakkan pesakit daripada membawa barangan terlarang ke dalam pusat kuarantin turut dijalankan.

"Untuk pengetahuan ramai, isu penjarakan fizikal di dalam pusat kuarantin yang dinyatakan tidak menjadi masalah kerana semua pesakit terbabit disahkan Covid-19 positif," katanya.

Berhubung isu suhu di dewan yang dibangkitkan, terutama menempatkan warganegara wanita dan kanak-kanak, siling dewan berkenaan tidak setinggi dewan terbuka biasa yang lain, JKNS dalam usaha mengatasi masalah itu.

"Perkara ini cuba diatasi dengan menetapkan suhu piawaian 22 hingga 24 darjah celsius dan membuat pemantauan berterusan," katanya.

Mengulas mengenai isu kebersihan tandas pula, JKNS memaklumkan, kerja pembersihan tandas dilakukan empat kali sehari iaitu 10 pagi hingga 12 tengah hari, 3 petang hingga 5 petang, 8 malam hingga 10 malam dan 2 pagi hingga 4 pagi.

"Di samping jumlah penggunaan yang tinggi, terdapat juga cabaran daripada aspek sikap pesakit menggunakan kemudahan yang disediakan, contohnya membuang sampah merata-rata sehingga menyebabkan tandas tersumbat serta tidak menjaga kebersihan tandas.

"Tinjauan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 dalam kalangan pesakit mendapati 75 berpuas hati terhadap tahap kebersihan tandas pesakit yang disediakan dan 91 peratus pesakit berpuas hati dengan tahap kebersihan dewan termasuk komen positif di media sosial," katanya.

Dari segi makanan pula, kenyataan itu memberitahu, bekalan makanan juga cuba disediakan sebaik mungkin dan dalam jumlah mencukupi serta tidak berlebihan bagi mengelakkan pembaziran.

"Kemasukan pesakit yang bertali-arus dengan jumlah besar setiap hari perlu diseimbangkan dengan jumlah pesakit sedia ada," katanya.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, pihak PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 sentiasa mencuba pendekatan baharu sebagai contoh dengan menyediakan food truck secara percuma sehingga 10 malam bagi menampung jumlah kemasukan pesakit baharu walaupun mengambil sedikit masa bagi menyediakannya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 9:51 PM