MOHD Hanafiah terkandas di wakaf di tepi Sungai Melaka kerana PKP membataskan niatnya untuk pulang ke kampung. FOTO Nazri Abu Bakar
MOHD Hanafiah terkandas di wakaf di tepi Sungai Melaka kerana PKP membataskan niatnya untuk pulang ke kampung. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Sudah hampir seminggu saya terkandas di sini malah sambut Syawal juga di sini," kata Mohd Hanafiah Kamarudin, 53, yang menjadikan sebuah wakaf di tepi Sungai Melaka sebagai tempat berteduh.

Dia yang pada awalnya datang ke Melaka untuk mencari kerja, tidak dapat pulang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada penghujung Ramadan lalu.

Katanya, pada awalnya dia mengunjungi rakan di Melaka Raya sebelum berusaha mencari kerja sesuai tetapi gagal.

Dia terpaksa menjadikan wakaf berkenaan sebagai tempat berteduh sementara menunggu masa pulang ke kediaman di Felda Bukit Jalor, Negeri Sembilan.

"Alhamdulillah ada beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi bantuan makanan tetapi tidak selalu. Kalau mereka tidak datang, tak makanlah, tambahan duit pun sudah habis dan telefon hilang.

"Kalau masa Ramadan lalu bolehlah berbuka puasa di masjid berhampiran tetapi Syawal ini belum ada lagi. Saya memang berhajat balik ke kampung kerana saya ada tanah dan boleh diusahakan," katanya.

Mohd Hanafiah berkata, pengalaman berhari raya seorang diri di wakaf berkenaan sesuatu yang sukar digambarkan.

Dia berkata, sebelum ini dia pernah bekerja di Singapura selama 10 tahun sebagai jurukimpal kapal dan pulang ke kampung pada 2018 namun berhasrat mencari kerja sebagai pengawal keselamatan.

Bagaimanapun, kesukaran mendapat pekerjaan di Melaka akibat pandemik Covid-19 menyebabkan dia mahu pulang ke kampung mengusahakan tanah yang ada.

"Saya hanya duduk, baring dan jika penat, saya berdiri sambil menunggu waktu azan untuk solat di masjid berhampiran.

"Ada ketikanya, saya mengisi masa bersembang dengan beberapa gelandangan kerana kekangan pergerakan selain tanpa wang dan hala tuju tambahan juga ada diabetes," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Burhanudin Bachik berkata, pihaknya akan membuat tinjauan di lokasi Mohd Hanafiah terkandas dan akan membantu keperluan termasuk makanan.

Katanya, perkara itu juga akan disalurkan kepada pihak berkaitan seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Menurutnya, berdasarkan situasi semasa, lelaki itu mahu pulang ke kampungnya, sehubungan itu usaha akan dilakukan bagi memenuhi hasrat Mohd Hanafiah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 3:44 PM