Razif Rosli

Ipoh: Selepas menunggu hampir 20 tahun, suri rumah Nurul Syuhaidah Johar, 28, akhirnya boleh menarik nafas lega apabila impian keluarganya untuk mendapat sebuah rumah baru dan selesa tercapai.

Dia bersyukur kerana Rumah Mesra Rakyat yang dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Cik Zainal, di sini, siap untuk diduduki.

“Memiliki rumah baru dan selesa ini adalah impian arwah ibu. Arwah ibu pernah menyatakan hasrat untuk mendapatkan rumah baru, sekarang hasrat itu dapat dilaksanakan dan walaupun ibu tiada, kami adik-beradik amat gembira,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Majlis penyerahan replika kunci rumah disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta Datuk Aminuddin Md Hanafiah.

Menurut Aminuddin, sebanyak 110 unit rumah daripada 1,648 unit sudah dilulus dan ditawarkan kepada pemohon di Perak pada tahun ini.

“Saya difahamkan 81 pemohon rumah sudah bersetuju menerima tawaran itu manakala bakinya dalam proses penerimaan.

“Malah 25 unit daripada jumlah itu sudah diserahkan kunci manakala bakinya dalam peringkat pembinaan, ia akan diserahkan apabila siap kelak,” katanya.

Beliau berkata, kos pembinaan setiap unit rumah adalah RM65,000 dan penerima hanya perlu membayar RM45,000 dengan kadar faedah pinjaman lima peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 6:12 AM