Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah (tengah) ketika ditemui di pusat pemindahan sementara di Masjid Jamek Kampung Jongok Batu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah (tengah) ketika ditemui di pusat pemindahan sementara di Masjid Jamek Kampung Jongok Batu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Dungun: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu akan menggerakkan anggotanya bagi membantu membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir, Ahad ini.

Pengarah APM Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dengan tumpuan diberikan bangunan awam kerajaan dan kawasan awam seperti sekolah, balai raya dan masjid.

"Pihak APM bersama-sama dengan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu Hanafiah Mat dan Pejabat Daerah memantau keadaan bencana di sekitar Kampung Pasir Raja,Kampung Shukor dan Kampung Jongok Batu.

"Kita tengok memang banyak kawasan yang terjejas dan terdapat rumah yang perlu dibersihkan segera, jadi pada Ahad (esok) ini, kita bersama dengan beberapa NGO akan membantu bergotong royong membersihkan kawasan yang terjejas terutama sekali bangunan awam kerajaan.

"Kita akan cuba bantu rumah-rumah penduduk yang terjejas daripada segi membersihkan kawasan yangterlibat itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat dan menyantuni penduduk yang terjejas akibat banjir di sekitar kawasan Hulu Dungun bersama Hanafiah.

Pada program itu, Hanafiah turut menyampaikan kit makanan kepada penduduk yang terjejas di sekitar Hulu Dungun membabitkan Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor dan Kampung Jongok Batu di Hulu Dungun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 6:37 PM