NUR Alyaa Nadrah Qaisara (dua kiri) bersama adik-adiknya dan neneknya ketika melihat gambar ibu mereka, Siti Khodijah yang meninggal dunia dipercayai akibat pendarahan dalam kepala. FOTO Zuliaty Zulkiffli
NUR Alyaa Nadrah Qaisara (dua kiri) bersama adik-adiknya dan neneknya ketika melihat gambar ibu mereka, Siti Khodijah yang meninggal dunia dipercayai akibat pendarahan dalam kepala. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: "Saya rindu sangat pada ibu dan harap dia balik sambut hari raya dengan kami, tapi ibu dah tiada," kata Nur Alyaa Nadrah Qaisara Ab Salam, 8.

Nur Alyaa Nadrah Qaisara adalah anak sulung Siti Khodijah Ab Manaf, 32, yang meninggal dunia selepas 26 hari dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, akibat pendarahan dalam kepala.

Mangsa disahkan meninggal dunia di HSAH pada 2.50 pagi hari ini dan jenazahnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

Ketika ditemubual, Nur Alyaa Nadrah Qaisara beberapa kali mengalirkan air mata sambil melihat gambar ibunya di telefon bimbit.

Kanak-kanak itu sedih kerana ibu yang paling rapat dengannya pergi sekelip mata ketika dia dan tiga adiknya, Abdul Raqiz, 5, Abdul Wafiy, 4, dan Irfan Arshad, 2, menunggu pada hari kedua Aidilfitri.

Ibu saudara mereka, Hafizah Ibrahim, 41, berkata arwah yang juga anak keempat daripada lima beradik tiba-tiba rebah pada 4 pagi 18 April lalu ketika hendak membancuh susu anaknya.

Katanya, ketika itu umat Islam baru seminggu berpuasa dan mereka kemudian menghantar Siti Khodijah ke HSAH untuk mendapatkan rawatan.

"Sejak dirawat di hospital, arwah tidak sedarkan diri dan cuma dua hari lalu, dia menunjukkan perubahan apabila menggerakkan jari dan tangan kirinya.

"Kami mengharapkan dia sembuh seperti sedia kala, namun akhirnya dia pergi buat selamanya pagi tadi," katanya ketika ditemui di rumah ibu arwah di Kampung Teluk Wang, Sungai Pasir, di sini, hari ini.

Hafizah berkata, minggu lalu dia sempat membawa empat anak arwah ke pasar raya untuk membeli pakaian untuk sambutan Hari Raya.

Katanya, anak sulungnya beberapa kali bertanya padanya sama ada ibu mereka akan pulang ke rumah pada hari raya atau sebaliknya.

"Saya tak sorok daripadanya. Saya beritahu ibu mereka sedang dirawat di hospital dan hari ini pun saya beritahu ibu mereka sudah meninggal dunia, dia faham tapi nampak dia sangat sedih.

"Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku terutama ketika dalam suasana hari raya, kami kehilangan arwah," katanya.

Malah katanya, kesemua anak arwah demam dan batuk pada hari raya pertama semalam disebabkan terlalu rindukan ibu mereka.

Sementara itu, ibu arwah, Rokiah Bahari, 68, berkata arwah seorang anak yang rajin dan membuka gerai bihun sup dan lokcing di hadapan rumah mereka, di sini.

Katanya, dia hanya sempat berniaga selama dua bulan sebelum Ramadan dan tidak sangka anaknya akan pergi dulu.

Jenazah akan dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Teluk Wang, di sini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan berhubung kematian mangsa, namun masih menunggu laporan bedah siasat berkaitan punca kematian wanita berkenaan.

Katanya, jenazah mangsa dihantar dari HSAH ke HSB di Alor Setar untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 8:17 PM