NORHASWATI (kiri) menunjukkan gambar arwah anak sulungnya, Nadrah Wajiha yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
NORHASWATI (kiri) menunjukkan gambar arwah anak sulungnya, Nadrah Wajiha yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: "Nadrah menerima dua tawaran menyambung pengajian termasuk dalam bidang perubatan dengan tajaan dua hari sebelum meninggal dunia," Norhaswati Nawawi, 44, ibu kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang meninggal dunia Sabtu lalu.

Nadrah Wajiha Hamadi, 19, pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Kerian di sini, memperoleh 11A meninggal dunia akibat jangkitan kuman.

Norhaswati berkata, biarpun sedih namun dia reda dengan pemergian anak sulung dari empat beradik itu biarpun terkejut memandangkan arwah sebelum ini langsung tidak pernah mengadu menghidapi sebarang penyakit kronik.

"Mulanya kami fikir arwah kena demam denggi kerana mengadu demam teruk pada Rabu lalu, namun selepas dirujuk ke klinik doktor memberitahu ia hanya demam biasa," katanya.

Menurut Norhaswati, kira-kira jam 3.50 petang Sabtu lalu, anaknya itu pengsan dan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian di rumahnya sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) .

"Pada Khamis arwah mendapat tawaran mengikuti Program Pembangunan Bakat Muda (YTP) Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mengikuti pengajian bidang perubatan dan tahfiz di sebuah universiti di Cyberjaya, Selangor.

"Pada Jumaat pula, arwah menerima tawaran mengikuti pengajian asasi perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)," katanya ditemui pemberita di Kampung Seri Klebang, hari ini.

Menurut Norhaswati, arwah bercita-cita menjadi seorang doktor bertaraf hafizah (penghafal Al-Quran) bahkan dia sudah menghabiskan hafalan 30 juzuk Al-Quran.

Menurutnya, arwah serta adik kembarnya, Sarah Wajiha Hamadi, 19, adalah pelajar cemerlang sejak di bangku sekolah rendah lagi.

"Setiap peperiksaan utama yang mereka hadapi di peringkat Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), mereka sentiasa memperoleh semua A. Cuma SPM kali ini Sarah memperoleh 10 A.

"Apa yang saya nampak sebagai ibu, arwah banyak lakukan amalan sunat seperti sentiasa baca Al-Quran, solat tahajud, solat dhuha serta puasa setiap hari Isnin dan Khamis," katanya jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di sini, semalam.

Sementara itu, Sarah berkata, sebagai kembar tentunya hubungan dengan Nadrah sangat akrab walaupun kakaknya itu agak pendiam.

"Arwah lebih pendiam dan hanya berbicara apabila dirasakan perlu sahaja, namun kami tidak pernah kedekut ilmu untuk menerangkan kepada rakan jika dalam perbincangan.

"Saya reda dengan pemergiannya, biarpun sejak lahir ini adalah perpisahan pertama antara kami yang juga perpisahan terakhir buat selama-lamanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 1:49 PM