ANGGOTA PDRM melakukan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Jalan Duta dari arah utara menghala Kuala Lumpur bagi memastikan orang awam tidak melanggar PKP pada Hari Raya Aidilfitri. FOTO Eizairi Shamsudin.
ANGGOTA PDRM melakukan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Jalan Duta dari arah utara menghala Kuala Lumpur bagi memastikan orang awam tidak melanggar PKP pada Hari Raya Aidilfitri. FOTO Eizairi Shamsudin.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kadar indeks jenayah di seluruh negara terkawal dan menunjukkan trend penurunan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, trend penurunan itu hasil operasi dilakukan pihak polis secara berterusan bagi mengesan aktiviti jenayah di lapangan.

"Bagi tempoh PKP ketika ini (dikuatkuasa bermula semalam) trend jenayah masih terkawal dan menurun kerana kehadiran pasukan pemantau polis yang turun padang.

"Ini sekali gus mengurangkan peluang penjenayah untuk melakukan jenayah dan pasukan JSJ masih mengambil tindakan pencegahan jenayah.

"Sepanjang tempoh PKP juga, kami akan meneruskan operasi, siasatan dan proses pendakwaan," katanya pada sidang media selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Jalan Duta arah pusat bandar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof serta Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya.

Sementara itu, Zulkefly berkata, pihaknya mengeluarkan enam kompaun terhadap pengguna jalan raya menerusi dua SJR di Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Jalan Duta bagi tempoh Sabtu lalu hingga semalam, kerana tiada surat kebenaran untuk merentas negeri.

"Kebanyakan mereka yang dikenakan kompaun itu memberi alasan mahu membeli-belah barang kelengkapan untuk sambutan Aidilfitri di ibu negara.

"Berdasarkan tinjauan, kami mendapati keadaan trafik hari ini terkawal dan tidak sesak berikutan kurang kenderaan di jalan raya.

"Ini sekali gus menunjukkan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP dengan hanya keluar rumah jika mempunyai urusan penting atau berkerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 12:38 PM