GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 144 kompaun dikeluarkan di daerah Sentul atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk tidak mengimbas Kod QR MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, tindakan kompaun itu hasil pemeriksaan 4,883 individu serta 912 premis menerusi Operasi Bersepadu Covid-19, semalam dan kelmarin.

"Seramai 140 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) terbabit dalam operasi itu.

"Kami turut menahan 32 individu atas kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Akta Imigresen 1959 Pindaan 2002," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, operasi itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang awam berkenaan pematuhan SOP PKP ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP PKP bagi bersama-sama memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 3:23 PM