ANTARA wanita warga Vietnam yang ditahan dalam serbuan itu. FOTO Ihsan PDRM/ Nurul Hidayah Bahaudin
ANTARA wanita warga Vietnam yang ditahan dalam serbuan itu. FOTO Ihsan PDRM/ Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Guna gambar wanita cantik sebagai taktik untuk mempromosikan kegiatan pelacuran di media sosial.

Itu helah digunakan sindiket pelacuran yang menjadikan premis di Kepong, di sini, sebagai pusat operasi mereka sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya membuat serbuan Operasi Noda (Op Noda) di tiga premis berasingan di sekitar Kepong bermula 8.45 malam tadi.

"Dalam serbuan itu, kami menahan tujuh wanita warga Vietnam yang dipercayai pelacur berusia 30-an di ketiga-tiga premis berkenaan.

"Kami juga menahan dua penjaga premis warga tempatan berusia 20-an dan 50-an, manakala sebuah lagi premis, tiada penjaga," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, semalam.

Eng Lai berkata, modus operandi sindiket pelacuran berkenaan adalah mempromosikan kegiatan itu dengan memuat naik gambar wanita di media sosial termasuk MiChat dan Facebook.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM200 bagi setiap sesi.

"Pemeriksaan dilakukan terhadap semua wanita warga Vietnam berkenaan mendapati mereka tidak memiliki pasport," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada tiga premis berkenaan adalah daripada sindiket yang sama.

"Semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 9:36 AM