ZAABA Manja menunjukkan suasana jualan daging kurang sambutan walaupun di jual pada harga RM 34 sekilogram di pasar besar Jerantut.  FOTO Roselan Ab Malek
ZAABA Manja menunjukkan suasana jualan daging kurang sambutan walaupun di jual pada harga RM 34 sekilogram di pasar besar Jerantut. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Jerantut: Walaupun harga daging segar hanya RM34 sekilogram, jualan peniaga di Pasar Jerantut menurun berikutan kurang pelanggan berbanding dua tahun sebelum ini.

Situasi itu dipercayai akibat lpelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menyebabkan pergerakan penduduk terbatas selain anak rantau tidak pulang ke kampung.

Malah, kehadiran peniaga daging yang menjual di luar pasar turut mengancam rezeki apabila semakin berleluasa menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Penjual daging Zaaba Manja, 62, berkata peniaga akur dengan penguatkusaan PKP, tetapi kecewa apabila terpaksa bersaing dengan peniaga di luar pasar menjelang perayaan.

"Di daerah ini boleh dikatakan di serata tempat muncul peniaga yang menjual daging di tepi jalan dan kawasan tumpuan ramai sehingga pelanggan kurang datang berbelanja di pasar.

"Kita kecewa kerana tiada tindakan daripada pihak berkuasa ke atas peniaga-peniaga berkenaan.

"Inilah antara punca perniagaan daging di pasar merosot dan kami masing-masing hanya menyembelih tiga atau empat ekor lembu sehari berbanding sebelum ini mencecah hampir 30 ekor sehari pada musim perayaan," katanya.

Rakannya, Mohd Nazrul Mohd Zakri, 32, berkata dia mengakui jumlah ternakan yang disembelih untuk dijual agak berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Sebelum PKP tahun lalu, jualan daging segar di pasar meningkat kerana banyak permintaan kerana ramai ahli keluarga dari luar balik ke kampung untuk Aidilfitri.

"Tetapi, sejak awal minggu hingga ke hari ini saya cuma menyembelih empat ekor ternakan sahaja berikutan permintaan menurun kerana kekurangan pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 10:08 PM