RUANG pemerhatian Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh dijadikan sebagai ICU Covid-19. FOTO Facebook Noor Hisham Abdullah
RUANG pemerhatian Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh dijadikan sebagai ICU Covid-19. FOTO Facebook Noor Hisham Abdullah
Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan tempoh tiga hingga empat minggu untuk menyiapkan fasiliti kesihatan sebagai persediaan sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini hampir 500 katil unit rawatan rapi (ICU) sedang digunakan dengan kebanyakan hospital di Lembah Klang sudah mencapai kapasiti penuh.

Menurutnya, KKM kini dalam usaha menyiapkan 1,700 katil untuk rawatan ICU selain mesin bantuan pernafasan sekiranya berlaku lonjakan kes Jun ini.

Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 juga digunakan untuk mengawal lonjakan kes baharu yang masih belum menunjukkan penurunan mendadak.

"PKP 1.0 dan 2.0 sebelum ini berjaya melandaikan lengkuk kes positif harian dan dalam PKP 3.0 ini juga kita berharap dapat mengurangkan kes.

"Malaysia menghadapi peningkatan kes pada Mac dan April lalu disebabkan kemunculan varian baharu yang lebih cepat merebak," katanya dalam sidang media khas Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dr Noor Hisham berkata, Proklamasi Darurat yang dilaksanakan kerajaan kini membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang sepatutnya diadakan dapat ditangguhkan sementara waktu.

Katanya, jika darurat tidak dilaksanakan, PRK dan PRN perlu diadakan kerana ia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kita perlu ambil iktibar dengan apa yang berlaku pada PRN Sabah apabila kes meningkat dengan mendadak.

"Ordinan Darurat digunakan untuk menangguhkan sementara PRK dan PRN kerana tidak mahu apa yang berlaku di India akan terjadi di Malaysia kerana negara itu menjalankan lima pilihan raya sehingga kes meningkat mendadak," katanya.

Tambahnya, jangkaan kes menurun atau meningkat sepanjang PKP 3.0 ini adalah bergantung kepada tahap kepatuhan rakyat untuk terus kekal berada di rumah dan tidak melakukan aktiviti rentas daerah serta negeri.

Katanya, PKP kendiri adalah lebih baik kerana virus tidak boleh bermutasi pada perumah baharu sekaligus tidak menyebabkan penularan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:36 PM