PASAR Awam Larkin Sentral menjadi tumpuan orang ramai hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
PASAR Awam Larkin Sentral menjadi tumpuan orang ramai hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Pengunjung Pasar Awam Larkin Sentral di sini, terpaksa beratur antara dua hingga tiga jam bagi memasuki premis itu untuk membeli barangan keperluan sempena Hari Raya Aidilfitri, Khamis ini.

Situasi itu adalah kerana pengurusan melaksanakan langkah diperlukan bagi memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan wabak Covid-19.

Seorang pengunjung, Rafiah Razak, 43, berkata dia yang tiba ke pasar berkenaan pada 9 pagi hanya dapat memasuki pasar pada jam kira-kira 11 pagi.

Menurutnya, dia juga difahamkan ada antara pengunjung yang mengambil masa kira-kira tiga jam bagi memasuki pasar.

"Meskipun majoriti dilihat mematuhi SOP mencegah penularan Covid-19 terutama memakai pelitup muka, tetapi aspek penjarakan fizikal boleh dipertingkatkan kerana ada pengunjung berkerumun di beberapa kedai terutama kedai menjual ayam dan daging," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyanathan berkata, pihaknya yang melakukan tinjauan dan pemeriksaan di Pasar Awam Larkin di sini hari ini mendapati pengurusan bangunan mematuhi SOP ditetapkan.

Beliau berkata, pihak pengurusan bangunan membenarkan 150 pengunjung pada sesuatu masa bagi menjaga keselamatan pengunjung.

"Kami mendapati orang ramai beratur panjang dan ada menyatakan beratur tiga jam namun warga emas dan ibu mengandung diberi peluang memasuki bangunan tanpa perlu beratur.

"Kami mendapati tiada sebarang kekurangan daripada segi pematuhan SOP ketika memasuki bangunan pasar ini bagaimanapun orang ramai seharusnya bijak menjaga keselamatan termasuk penjarakan sosial," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasar Awam Larkin Sentral, Mohd Helmi Mohd Affendi berkata, kesesakan hanya berlaku di luar bangunan apabila pengunjung beratur panjang bagi memasuki bangunan pasar.

"Bagaimanapun keadaan di dalam pasar adalah terkawal dan setiap pengunjung diberikan nombor giliran ketika memasuki bangunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:04 PM