Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Cuti hujung minggu di negeri ini hari ini menyaksikan orang ramai beratur panjang di Pasar Borong Pandan di sini, untuk membeli barangan makanan berikutan waktu operasi terhad ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan sekitar jam 10.15 pagi mendapati kira-kira 100 pengunjung yang memakai pelitup muka beratur panjang bersama troli untuk membeli barangan basah.

Wakil Persatuan Ikan Pasar Borong Pandan, Edyham Ali berkata, ramai pelanggan yang tidak mengetahui pasar berkenaan beroperasi dari jam 11 pagi hingga 4 petang setiap hari sepanjang tempoh PKP.

"Namun timbul masalah apabila waktu operasi pasar ini terhad lima jam sahaja kerana akan berlaku kesesakan sehingga pelanggan terpaksa berbaris panjang.

"Seandainya pasar beroperasi mula jam 8 pagi, orang tidak akan beratur panjang. Di sini ada sekitar 200 kedai dan setiap kedai maksimum hanya tiga pekerja, kapasiti sekali masuk 200 pelanggan," katanya.

Tinjauan orang ramai berbaris serta mematuhi SOP PKP dengan memakai pelitup muka untuk memasuki Pasar Borong Pandan untuk membeli ikan dan barang keperluan harian dalam tempoh PKP  bermula 13 Januari  sehingga 26 Januari 2021. FOTO ZAIN AHMED
Tinjauan orang ramai berbaris serta mematuhi SOP PKP dengan memakai pelitup muka untuk memasuki Pasar Borong Pandan untuk membeli ikan dan barang keperluan harian dalam tempoh PKP bermula 13 Januari sehingga 26 Januari 2021. FOTO ZAIN AHMED

Menurutnya, sehubungan pihak persatuan bercadang untuk berbincang semula dengan Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk mempertimbangkan waktu operasi, pada masa sama menjaga kualiti jualan," katanya.

Manakala peniaga dan penternak ikan, Muhamad Darius Bambang, 33, berkata, apabila pasar beroperasi hanya lima jam secara tidak langsung menggalakkan orang ramai datang serentak kerana tempoh yang singkat.

"Apabila sesak, akan tidak ada penjarakan sosial akan kurang. Maka lebih baik tempoh operasi di pasar borong ini dipanjangkan untuk elak kesesakan," katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Mohd Asri Mat Noh, 57, berkata dia mula beratur sejak jam 8 pagi bagi membeli barangan basah untuk kegunaan keluarga.

"Saya tidak tahu pasar ini beroperasi bermula 11 pagi sepanjang tempoh PKP, memang pada kebiasaannya saya akan berbelanja tiga kali seminggu untuk mendapatkan keperluan segar, di samping tidak perlu bersesak jika pergi awal pagi.

"Bagaimanapun, apabila pasar hanya beroperasi pada waktu singkat iaitu 11 pagi hingga 4 petang. Bukan hanya perlu beratur panjang, masa kita terbuang," katanya dari Kempas, dekat sini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 1:28 PM