Ahmad Dzaffir (tengah) ketika melakukan tinjauan di Pasar Kajang, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
Ahmad Dzaffir (tengah) ketika melakukan tinjauan di Pasar Kajang, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bekerjasama memantau 32 pasar awam dan pasar raya di Kajang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa kedua.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, inisiatif itu bagi memastikan penduduk patuh arahan dan akur terhadap penjarakan sosial yang ditetapkan.

“Tenaga pemantau dibahagi kepada enam pasukan. Kita mahu pastikan tidak berlaku kesesakan di pasar raya dan pasar awam selain pengunjung mengamalkan penjarakan sosial,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Pasar Kajang, hari ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain.

ORANG ramai beratur dalam penjarakan sosial satu meter sebelum dibenar memasuki pasar. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
ORANG ramai beratur dalam penjarakan sosial satu meter sebelum dibenar memasuki pasar. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.

Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir berkata, pemerhatian pihaknya mendapati pematuhan penduduk Kajang terhadap PKP semakin meningkat dan sedar kepentingan penjarakan sosial sejauh satu meter.

“Kemasukan pengunjung ke pasar juga dihadkan kepada 40 orang pada satu-satu masa dan diletakkan garisan satu meter untuk mereka patuhi.

“Ditetapkan juga petugas di pintu masuk premis untuk mengambil suhu badan dan cecair pembasmi kuman,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, 21 individu yang ingkar arahan PKP ditahan di daerah itu bagi tempoh 1 April lalu sehingga semalam.

“Mereka yang ditahan termasuk 19 individu yang menyertai parti liar di kondominium dekat Taming Jaya, kelmarin.

“Setakat ini, tujuh sekatan jalan raya dan dua penutupan jalan dilakukan, namun jumlahnya akan ditambah berperingkat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 12:12 PM