Aizat Sharif


Kangar: Kapasiti penggunaan katil bagi merawat pesakit Covid-19 di Perlis masih terkawal terutama menjelang Aidilfitri minggu hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Teh Chai Aan berkata, walaupun negeri seperti Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19, keadaan di Perlis masih terkawal yang mana ia merekodkan 369 kes setakat semalam.

"Setakat ini, penggunaan katil untuk merawat pesakit Covid-19 di Perlis masih tidak kritikal serta tetap mencukupi.

"Malah, pemantauan di dua hingga tiga pusat rawatan pesakit Covid-19 termasuk di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar juga mendapati, masih lagi banyak katil kosong," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Kuih Raya kepada Anggota Keselamatan dan Petugas Barisan Hadapan Yang Bertugas Pada Aidilfitri di Sempadan Malaysia-Thailand yang berlangsung di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya bagaimanapun sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya Perlis pula mengalami peningkatan dalam penularan Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Perlis Dr Sirajuddin Hashim ketika dihubungi berkata, daripada sudut pengisian katil untuk pesakit Covid-19 di HTF, ia hanya pada kadar 21.1 peratus setakat ini.

"Kadar penggunaan katil di HTF adalah sekitar 21.1 peratus dan ia tidaklah kritikal seperti negeri lain.

"Meskipun begitu, rakyat Perlis diseru untuk terus mematuhi langkah pencegahan dan kawalan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada setiap masa," katanya.

Terdahulu, Chai Aan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Tinggi dan barisan Adun lain menyaksikan penyampaian kuih raya kepada wakil anggota keselamatan dan petugas barisan hadapan di Perlis yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof.

Lebih 100 bungkusan kuih raya diberikan kepada anggota keselamatan yang mengorbankan cuti Aidilfitri demi menjaga perbatasan negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 3:12 PM