Penerima vaksin dalam kalangan warga emas di Perlis mendapatkan suntikan vaksin di Dewan 2020, Kangar. FOTO Aizat Sharif
Penerima vaksin dalam kalangan warga emas di Perlis mendapatkan suntikan vaksin di Dewan 2020, Kangar. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Walaupun penggunaan katil di hospital dan kemudahan kesihatan untuk merawat pesakit Covid-19 di Kedah meningkat kepada 92 peratus, tiada limpahan pesakit pandemik berkenaan direkodkan berlaku di Perlis.

Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr Sirajuddin Hashim berkata, penggunaan katil untuk merawat pesakit Covid-19 hanyalah sekitar 43.5 peratus sahaja di di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan 29 peratus pula Pusat Kuarantin Risiko Rendah (PKRC) Covid-19 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Kangar.

"Di Unit Rawatan Rapi HTF, penggunaan katil untuk merawat pesakit ini dianggarkan 43.5 peratus manakala bagi ILKKM pula adalah sekitar 29 peratus sahaja.

"Ini bererti kadar penggunaan katil di HTF dan masih di tahap baik kerana kedua-duanya berada di bawah 50 peratus," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, berdasarkan rekod memang terdapat pesakit dari Kedah yang dibawa ke Perlis untuk menerima rawatan di HTF namun itu tidaklah mengakibatkan sebarang limpahan pesakit sehingga menyebabkan penggunaan katil meningkat di semua kemudahan kesihatan di Perlis.

"Di Perlis, tidak berlaku situasi seumpama itu meskipun kita akui ada pesakit datang dari Kedah yang dirawat di HTF.

"Kebanyakkan mereka yang mendapatkan rawatan di HTF adalah mereka yang tinggal di bahagian utara Kedah seperti di daerah Kubang Pasu," katanya.

Bagi operasi pemvaksinan pula, seramai 188,000 orang yang terdiri daripada kategori 18 tahun ke atas sudah pun menerima suntikan vaksin Covid-19 sejak program ini bermula pada 1 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, 22,000 atau 11 peratus adalah penerima suntkan vaksin pertama dan bagi melancarkan proses vaksinasi dalam kalangan rakyat Perlis, dua lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di Dewan Sri Melati, Beseri dan Dewan Warisan, Kangar.

Operasi PPV di Dewan Seri Melati sudah pun bermula sejak semalam manakala PPV Dewan Warisan pula akan bermula pada 8 Jun hadapan.

Dua PPV ini akan menjadi pelengkap kepada PPV Dewan 2020, Kangar yang sudah pun memulakan operasi sejak Mac lalu.

Sehingga semalam, Perlis yang sudah pun menjadi zon merah mencatatkan kes sebanyak 443 kes penularan jangkitan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 2:52 PM